Fungsi otak terjejas jika tidur bayi kerap terganggu
IBU bapa muda hilang antara 400 hingga 750 jam waktu tidur ketika anak
berusia setahun ke bawah, tetapi apabila semakin membesar, pola tidur
mereka lebih stabil.
Biasanya, semua bayi yang baru dilahirkan
sering terjaga daripada tidur pada waktu malam. Ia sesuatu yang normal,
tetapi menjelang usianya enam bulan, ada bayi yang boleh tidur lena
sepanjang malam tetapi ada yang terjaga dan perlu ditidurkan semula.
Tidur bagi bayi adalah sebahagian penting dalam proses tumbesarannya.
Tidur waktu malam sangat penting kepada bayi kerana mereka akan lebih
riang dan tenang pada waktu pagi.
Jika terganggu walaupun
sekejap atau secara berterusan dan bertambah pada setiap malam mungkin
boleh menjejaskan fungsi otak. Oleh itu, sangat penting untuk memastikan
persekitaran tidur yang kondusif supaya bayi mendapat kualiti tidur
yang diperlukan.
Begitupun keperluan tidur antara seorang bayi
dengan yang lain tidak sama. Panduan di bawah adalah secara umum
keperluan tidur seseorang bayi dan jika mereka tidak dapat tidur
secukupnya, anda dinasihatkan mendapatkan pandangan pakar.
Tidur bayi baru lahir hingga berusia tiga bulan.
Bayi dalam lingkungan usia ini memerlukan tidur antara 16 hingga 20 jam
sehari dalam jangka masa antara satu setengah jam hingga lima atau enam
jam setiap kali pada siang hari. Ketika ini, waktu makan dan tidurnya
akan bersilang. Ada bayi yang tidur sepanjang malam apabila mereka
berusia empat atau enam minggu tetapi itu bukan kebiasaannya.
Tiga hingga enam bulan.
Daripada usia tiga hingga 12 bulan ke atas, bayi akan tidur antara 14
hingga 15 jam secara keseluruhannya. Mereka cenderung untuk tidur antara
enam hingga lapan jam pada waktu malam dan akan terjaga
sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh waktu itu dan perlu ditenangkan,
disusui sebelum dia tidur kembali.
Bayi akan tidur sekejap (nap) antara sejam hingga dua jam pada waktu pagi, tengah hari dan petang.
Enam hingga 12 bulan.
Kanak-kanak dalam usia ini selalunya tidur sekejap, iaitu dua kali
dalam tempoh tiga hingga empat jam dan akan tidur untuk 11 jam pada
waktu malam. Jika mereka tidur selama 12 jam pada waktu malam, adalah
mencukupi mereka tidur sekejap untuk sejam ketika waktu pagi dan petang.
Satu hingga tiga tahun.
Selalunya mereka tidak lagi tidur sekejap pada waktu pagi. Waktu petang
pula mereka juga akan tidur sekejap dan selalunya bertahan untuk tiga
jam saja. Jumlah masa tidur mereka yang diperlukan ialah antara 10
hingga 13 jam tetapi faktor lain selalunya mengganggu kualiti masa tidur
mereka seperti menggigau atau sakit gigi.
Tiga hingga 12 tahun
Pada usia ini tidur sekejap jarang dilakukan dan jangka masa tidur pada
waktu malam juga menurun sehingga 12 jam untuk kanak-kanak pra sekolah
manakala 10 jam untuk kanak-kanak pra remaja.
No comments:
Post a Comment